MALANG bagi seorang kanak-kanak berumur empat tahun apabila dia terpaksa menjalani 26 siri pembedahan sejak dilahirkan.
Dylan Little yang berasal dari Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat terpaksa menjalani pembedahan itu selepas disahkan menghidap penyakit Kongentinal Nevus Melanostik.
Penyakit yang hanya dihidapi oleh seorang 20,000 kelahiran bayi itu menyebabkan kulit pesakit ditumbuhi ketulan tahi lahir pelbagai saiz di seluruh badan.
Lebih menyedihkan apabila penyakit itu boleh bertukar menjadi kanser dan membawa maut jika ia tidak dirawat dengan kadar segera.
Susulan itu, kanak-kanak lelaki malang tersebut terpaksa menjalani pembedahan memasukkan implan payu dara ke dalam kulit bagi mengubati penyakit yang dialaminya.
Menurut ibunya, Kara, 38, penyakit itu dikesan selepas melihat hampir 80 peratus badan anaknya ditumbuhi tahi lalat pelbagai saiz.
“Kulit di bahagian belakang badan Dylan pula berwarna hitam seakan mengalami pendarahan, manakala muka, tangan dan kaki pula dipenuhi dengan tahi lalat.
“Tanda lahir paling besar ialah dari bahagian telinga sehingga ke bahagian bawah sekitar bahu dan perut,” jelasnya.
Implan payu dara
Menurut Kara, biarpun penyakit tersebut belum didiagnosis sebagai kanser, namun kebarangkalian untuknya bertukar menjadi kanser adalah sangat tinggi.
“Kami suami isteri sungguh sedih setiap kali melihat keadaan Dylan, lebih-lebih lagi apabila dia terpaksa menjalani puluhan pembedahan untuk memulihkan kulitnya.
“Bukan itu sahaja, kami juga kerap berkecil hati dengan penerimaan orang ramai setiap kali Dylan dibawa keluar ke tempat-tempat awam.
“Pernah sekali anak saya digelar sebagai raksasa dan kami juga pernah dihalau keluar daripada sebuah pasar raya hanya kerana penyakit yang dialami oleh Dylan,” jelasnya.
Bagaimanapun, menurut Kara, biarpun sering berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan, namun dia dan suami tidak pernah segan untuk membawa anaknya keluar dan berhadapan dengan orang awam.
“Kami selalu berharap agar tanda lahir pada badan Dylan hilang.
“Bagaimanapun, keadaan tersebut tidak mungkin akan berlaku dengan mudah. Disebabkan itu, Dylan terpaksa menjalani pembedahan setiap tiga hingga enam bulan sekali untuk membuang tanda lahir yang ada pada badannya secara berperingkat,” jelasnya.
Jelas Kara, pembedahan pada bahagian belakang badan terpaksa mengambil jarak masa sehingga enam bulan, manakala pada bahagian badan yang lain hanya tiga bulan.
Untuk setiap pembedahan, doktor menggunakan prosedur pengembangan kulit, seperti yang dilakukan untuk implan payu dara.
Kanser
“Melalui kaedah ini, mereka akan memasukkan implan di bawah kulit selama tiga bulan bagi membolehkan ia mengembang bersama kulit.
“Kulit itu kemudian dikeluarkan semula tiga bulan kemudian dan ditampal pada bahagian yang menghadapi masalah ketumbuhan tanda lahir,” katanya.
Setakat ini, Dylan berjaya membuang 50 peratus tanda lahir yang memenuhi tubuhnya seperti di leher, bahu dan separuh daripada bahagian belakang badannya.
Di samping pembedahan untuk membuang tanda lahir, Dylan turut menjalani sistem imbasan MRI dua kali setahun bagi memastikan tanda lahir tersebut tidak merebak dan bertukar menjadi kanser.
Statistik menunjukkan potensi penyakit Kongentinal Nevus Melanostik untuk bertukar menjadi kanser adalah kira-kira 10 peratus.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Nevus, Mark Beckwith berkata, penggunaan implan payu dara merupakan satu-satunya cara untuk mengembangkan kulit dan kaedah berkesan bagi merawat penyakit tersebut.
“Kaedah ini mampu mengembangkan kulit dan kemudian dikeluarkan semula untuk ditampal pada permukaan kulit yang bermasalah.
“Bagaimanapun, jika kawasan penyakit sudah merebak ke bahagian otak dan tulang belakang, risiko seseorang untuk berhadapan dengan kematian adalah tinggi.
“Kes ini menjadi begitu serius kerana bahagian otak merupakan bahagian yang sensitif dan tidak boleh ditumbuhi oleh mana-mana tanda lahir atau tahi lalat.
“Bagaimanapun setakat ini, kebanyakan individu yang mempunyai ketumbuhan pada otak bernasib baik kerana ia tidak mengganggu fungsi otak dan pesakit mampu menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain,” jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm#ixzz4KhvdJT7h