KUALA LUMPUR - Atas dasar kasih dan sayang terhadap seorang sahabat yang dianggapnya sebagai kakak, ahli perniagaan, Ida Nirwana Marzuki, mengambil keputusan untuk merisik dan meminang wanita itu sebagai madunya, lapor Harian Metro.
Ida, 26, berkata, madunya, Norinie Rahmad, 35, yang juga anak yatim piatu disifatkannya sebagai pilihan terbaik untuk berkongsi kasih dengan suaminya. Malah, Ida sendiri memujuk suaminya, Nurul Hakim Mohd Kusaini, 32, untuk menerima Norinie sebagai isteri kedua.
"Pada awalnya suami agak keberatan kerana tidak pernah berhasrat untuk berkahwin dua selain tidak mempunyai apa-apa perasaan dan menganggap Norinie sebagai rakan niaga.
"Suami memaklumkan agar dia diberi masa untuk berfikir. Dalam tempoh itu juga, hampir setiap hari saya memujuknya dengan memberitahu semua itu untuk menghalalkan hubungan, mengelak menjadi fitnah orang lain dan rasa tanggungjawab sebagai seorang sahabat," katanya kepada Harian Metro.
Namun suami akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan rakannya itu dan dia amat bersyukur dengan keputusan suaminya.
"Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Daripada merisik, bertunang sehinggalah ke majlis akad nikah diadakan semalam jam 11 pagi di Masjid As-Syakirin, Desa Petaling dan dihadiri oleh keluarga terdekat serta saudara mara," katanya.
Menurut Ida, keluarganya juga menerima baik dan tiada sebarang masalah yang timbul. Malah anak lelakinya yang berusia tiga tahun juga rapat dan manja dengan madunya sehingga memanggilnya sebagai 'Didi'.
"Kami bercadang untuk tinggal serumah iaitu di kediaman saya dan suami di Taman Permaisuri, Cheras, dalam masa terdekat ini," katanya.
Difahamkan, Ida mengenali Norinie sejak awal Mei tahun lalu ketika menghadiri kursus yang menawarkan perundingan imej di sebuah hotel di ibu negara. Sejak dari itu, mereka rapat malah mereka bertiga pernah keluar bersama.
"Selain menjadi rakan perniagaan, hubungan itu semakin rapat, bukan hanya sekadar sahabat tetapi seperti kakak saya sendiri. Sepanjang tempoh lebih setahun ini, kami turut berkongsi mengenai kehidupan masing-masing. Apatah lagi saya juga sudah berpindah ke Cheras, berdekatan dengan kediaman madu. Jadi hampir setiap hari kami meluangkan masa bersama," katanya.
Norinie baru saja kehilangan ibunya pada Mei 2016, selain adik beradiknya yang lain sudah membawa haluan masing-masing setelah berkahwin.
Dari situ, timbullah rasa simpati Ida memandangkan Norinie hidup seorang diri di ibu kota, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menjadikan sahabatnya itu sebagai madu.
Ida menjelaskan, dia mengambil masa selama dua bulan lebih untuk melamarnya dan tiada sedikit pun perasaan sedih. Malah dia teruju kerana apa yang dilakukannya itu sememangnya di atas kerelaan hati.
"Walaupun ada wanita yang memandang poligami secara negatif, saya kini semakin bahagia biarpun terpaksa berkongsi kasih," katanya. - The Reporter