Anak perempuan Allahyarham Datuk Dr Haron Din memberitahu doktor merawat bapanya yang dikenali sejak 16 tahun lalu, Prof Alan C Yeung dari Pusat Perubatan Universiti Stanford banyak kali menitiskan air mata sejak pemergian Mursyidul Am Pas itu.
Dr. Huda Haron berkata, Dr Alan menyifatkan Allahyarham bapanya itu sebagai pesakit beliau yang paling baik dan gigih dalam apa juga keadaan.
“Oh ya nak beritahu Baba…Dr Alan Yeung setiap hari tanya khabar kami. Semalam dia hantar pesanan, minta izin nak ziarah Baba. Dia minta nombor telefon dan alamat e-mel kami, tidak mahu putus hubungan katanya dan berharap pertalian kekal bertanya khabar.
“Dia kata, Baba pesakitnya yang paling baik dan paling gigih dalam apa jua keadaan. 16 tahun dia kenal Baba dan rapat kita dah macam keluarga. Banyak kali matanya bergenang dan menitiskan manik-manik jernih. Dia menangis Baa…banyak kali,” ceritanya melalui satu perkongsian di Facebook.
Menurutnya lagi, Dr Alan sering bersama keluarganya sepanjang detik cemas dan getir mereka di sana.